Monday, November 9, 2009

Hari Jadi Ayah


Selamat Hari Jadi Ayah,
Sengaja saya tuliskan post ini dalam Bahasa Melayu. Ini adalah coretan saya tentang ayah saya sempena hari jadinya dan juga kerana ayah saya adalah seorang pencinta bahasa Melayu tulin. Dalam gambar ini - ayah berbaju batik kuning.

Hari ini adalah merupakan hari jadi ayah saya yang ke-71. Ayah dilahirkan pada 9/11/1938 di kampung yang sama dengan kampung di mana keluarga saya menetap sekarang. Bezanya - rumah nenek di darat dan rumah kami pula di beteng. Saya tidak dapat membayangkan suasana ketika itu, tapi pastinya ayah yang merupakan anak sulung adalah kegembiraan dan hadiah yang tak ternilai untuk pasangan atuk dan nenek.

Tidak banyak yang saya ketahui tentang ayah pada masa kecilnya. Ayah adalah anak sulung kepada 10 orang adik beradik. Apa yang diceritakan oleh nenek, ayah bersekolah sehingga peringkat MCE, dan liku-liku hidup ayah dalam mengejar cita-citanya bukanlah sentiasa indah. Banyak pengorbanan yang ayah lakukan. Ayah kemudian bekerja sebagai cikgu di beberapa buah sekolah rendah di sekitar daerah Pontian dan bersara awal ketika usia beliau 50 tahun. Ketika ayah bersara, saya sebagai anak sulung kepada 5 orang adik-adik yang masih bersekolah, baru sahaja menamatkan peperiksaan SPM. Tapi ayah yakin dengan keputusannya dan punya perancangan masa depan yang paling bijak untuk kami semua.

Karakter ayah agak serius. Beliau pendiam, amat bertanggungjawab, berpendirian tegas dan mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Namun beliau tidak pernah berkompromi dalam mencurahkan kasih sayangnya pada kami adik beradik. Dengan sifatnya itulah, beliau telah berjaya membesarkan dan memberikan didikan yang sempurna kepada kami adik beradik. Dalam banyak hal, paling ayah tidak pernah berkira ialah tentang pelajaran dan pendidikan. Sekalipun tinggal dikampung, saya masih ingat lagi yang ayah sanggup menghantar dan menjemput saya dengan motosikal untuk ke kelas tuisyen ketika saya berada di dalam darjah 5 di Pekan Benut. Kelas tersebut hanya mengambil masa 2 jam- dan ayah sanggup menunggu saya untuk sepanjang tempoh waktu itu. Beliau jugak tidak pernah lokek membelikan kami dengan bahan-bahan bacaan tambahan seperti majalah bulanan-Dewan Pelajar, Bujal dll, dan juga dengan vidoe game untuk mengasah minda. Ketika itu, barangan seperti itu adalah merupakan barangan mewah bagi kami. Itu tidak termasuk dengan buku-buku ensiklopedia tambahan seperti buku "kenapa mengapa", buku-buku ujikaji sains dan sebagainya. Bukan dengan anak-anaknya, malah menurut kata adik-adik ayah yang lain, ayah juga dulu sanggup melanggan majalah "mastika","dewan siswa", "dewan masyarakat", "reader's digest" untuk bacaan adik-adiknya sekitar awal tahun 1980-an. Bayangkan ketika itu, kami tinggal dikampung kecil, bahan bacaan sedemikian adalah merupakan perkara yang amat berharga.

Ayah mempunyai hobi yang pelbagai tetapi beliau sentiasa bersungguh-sungguh dengan apa yang beliau lakukan. Beliau sangat cintakan pada tanah dan aktiviti yang berkaitan dengan teknologi pertanian. Ideanya tentang pertanian sangat kreatif dan beliau suka untuk mencuba pelbagai teknologi pertanian yang tentunya memberikan pulangan yang lebih. Ketika tanaman kelapa sawit mula popular di Malaysia, ayah telah melaburkan masa,tenaga, wang ringgit dan beberapa bidang tanahnya untuk tanaman kelapa sawit. Ternyata usaha dan komitmen ayah tidak sia-sia. Kini, hasil daripada kelapa sawit lah merupakan pendapatan utama keluarga kami. Ayah juga berminat dengan pelbagai jenis baja, racun semburan, sistem perparitan ladang dan sebagainya. Pokok buah-buahan juga menjadi sebahagian daripada bahan ujikaji ayah- hasilnya ayah mempunyai kebun yang ada pelbagai gred durian, buah duku/dokong, rambutan pelbagai jenis hasil tut, berjenis-jenis buah mangga dan sebagainya. Ayah juga mahir dalam bab-bab "wiring" dan barang-barang elektrik. Kami sekeluarga dan arwah nenek khususnya selalu hairan dengan kebolehan ayah yang begitu arif tentang hal-hal "wiring" sekalipun ayah tidak pernah mengikuti sebarang kursus berkaitan perkara-perkara elektrik dan elektronik. Kini, ayah selalu menjadi pakar rujuk orang-orang kampung sekiranya mereka ada masalah dengan wiring. Apa yang saya simpulkan - ayah memang BIJAK!

Ayah juga rajin membaca. Setiap hari beliau akan memperuntukkan masa untuk membaca surat khabar kegemarannya -BERITA HARIAN. Ayah akan membaca setiap berita dan artikel yang terdapat didalamnya. Ayah juga suka menonton bola sepak dan dokumentari. Ayah juga suka menonton Berita Dunia RTM1 - dan mungkin itu lah cara ayah berhubung dengan dunia luar.

Banyak lagi yang saya ingin kongsikan tentang ayah. Mungkin di post yang lain.


SELAMAT HARI JADI AYAH. Terima kasih di atas segala pengorbanan, didikan dan tunjuk ajar ayah membesarkan kami semua. Semoga Allah sentiasa melindungi ayah dan mengurniakan ayah dengan kesihatan yang berpanjangan. Ameen.

No comments:

Post a Comment